Semua orang, laki ke pompuan, tua ke muda, kaya ke miskin, sikit sebanyak pasti akan merasai tekanan atau stress.
Ada orang stress disebabkan hal2 yang remeh temeh. Ada orang akan stress bila tak dapat rokok. Ada orang stress bila tengok muka boss. Ada orang stress bila banyak kerja. Pendek kata, ada macam2 jenis stress. Masing2 akan merasai stress mengikut pengalaman dan bidang masing2.
Orang yang paling berjaya ialah orang dapat mengawal minda dan emosinya apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Dia melihat sesuatu masalah melalui perspektif yang betul. Orang yang berjaya akan mengambil sikap yang betul atas segala masalah yang dihadapinya.
Orang yang dapat buat begitu dianggap berjaya kerana dia dapat mengubah yang negatif kepada positif. Dia tukar tekanan menjadi cabaran pada dirinya. Dia boleh tukar masalah menjadi peluang. Dia dapat menukar tekanan menjadi rangsangan.
Anda ingin berjaya menangani stress? Anda ingin hidup aman tanpa merasai stress yang sentiasa mengganggu emosi dan fikiran anda?
Sila baca panduan bagaimana untuk menangani stress, yang saya dapat daripada Dr. Danial ini.
- 1. Kita mesti menjadi seorang yang berwawasan dan berperancangan.
Orang yang berjaya ialah mereka yang mempunyai wawasan atau visi. Hidup mereka bermatlamat dan di samping itu mereka mempunyai cita-cita yang tinggi. Mereka merupakan golongan yang mampu menjawab dengan jelas soalan ‘what’ atau apa yang saya mahu berhubung masa depan seperti yang disebutkan oleh Peter M. Senge dalam bukunya The Fifth Discipline.
Wawasan dan matlamat perlu disusuli dengan usaha. Zaman pungguk termenung merindukan bulan sudah berlalu. Hari ini ialah zaman ikhtiar dan usaha. Tanpanya pungguk akan mati.
Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 202, “Mereka itulah orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah amat cepat perhitungan-Nya.”
Usaha yang akan mendatangkan hasil yang baik ialah usaha yang berdasarkan perancangan yang teliti.
Mengikut Imam Tirmizi, nabi bersabda, “Manfaatkan yang lima sebelum datang yang lima, masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum mati.”
Hadis ini menunjukkan mereka yang berjaya ialah mereka yang merancang awal dalam hidup mereka. Mereka merupakan golongan yang proaktif yang ingin memanfaatkan peluang hari ini sebelum tiba hari esok. Dengan itu kerja-kerja ‘last minute’ dapat dielakkan sekali gus cara hidup kelam kabut dan tergesa-gesa yang melahirkan tekanan dapat dielakkan.
- 2. Berzikir dan beribadah lah dengan khusyuk.
Ibadah yang khusyuk akan mendatangkan kedamaian kepada jiwa seseorang dan kedamaian ini akan lebih mendekatkannya kepada Allah sehingga akhirnya timbullah kelazatan dan keenakan ketika beribadah. Ketika itu, ibadah menjadi penawar yang mampu meredakan sebarang tekanan yang melanda hati. Di antara ibadah yang boleh mendamaikan hati ialah zikrullah.
Sehubungan dengan ini Allah berfirman: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.” (Ar-Ra’d 13:28)
Pada suatu ketika, seorang lelaki telah mendatangi sahabat Abdullah ibn Masud r.a. dan berkata: “Wahai Ibn Masud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut kemusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku tiada.”
Abdullah ibn Masud r.a. telah menjawab: “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, pertama, ke tempat orang sedang membaca Al-Quran tidak kira sama ada kamu ikut membacanya atau kamu sekadar mendengar pembacaan orang lain. Kedua, kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah dan ketiga, kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam, dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepada-Nya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu. Jika selepas melakukan kesemua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukannya hatimu.”
Lelaki itupun kembali ke rumahnya dan terus mengambil wuduk dan membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk. Selesai membaca Al-Quran, didapati jiwanya telah berubah menjadi tenang, fikirannya menjadi jernih dan kegelisahan yang selama ini melanda hatinya hilang sama sekali.
- 3. Hidup Yang Seimbang Adalah Penawar.
Salah satu punca tekanan yang menyerang ramai orang pada hari ini ialah ‘ketagih bekerja’ atau ‘belajar tanpa henti’. Mereka, yang dikenali sebagai workaholic, bekerja / belajar siang dan malam sehingga melupakan segala tanggungjawab yang lain.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh Dr. Bryan E. Robinson dari Universiti North Carolina di Charlotte, golongan ini mengeluarkan banyak hormon adrenaline di dalam badan mereka dan hormon ini akan membebankan jantung, menyebabkan darah tinggi dan menyempitkan pembuluh darah.
Perubahan-perubahan ini mendedahkan golongan ini kepada sakit jantung, strok, kesugulan dan keinginan untuk membunuh diri. Islam menentang sebarang sikap melampau di dalam hidup.
Nasihat yang paling baik untuk kita hayati ialah yang pernah dinasihatkan oleh sahabat Salman Al-Farisi r.a. kepada Abu Dardak r.a. Nasihat ini kemudiannya disokong oleh Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Tuhanmu ada hak ke atasmu, dirimu ada hak ke atasmu dan keluargamu ada hak ke atasmu. Berikan setiap yang berhak ini haknya.” (Bukhari).
Justeru keseimbangan dalam hidup adalah sangat penting.
- 4. Senaman dan Rekreasi Meredakan Tekanan.
Islam menggalakkan umatnya aktif beriadah dan membenci mereka yang malas dan tidak aktif.
Nabi s.a.w. telah bersabda: “Semua perkara melalaikan seseorang dari zikrullah melainkan empat perkara: pergi memanah, melatih kuda (untuk berperang), bergurau senda di antara suami isteri dan belajar berenang.” (Tabrani)
Senaman akan menambahkan kekuatan mental dan ketajaman pemikiran. Di samping itu ia juga merangsang kreativiti dan imaginasi seseorang.
Mengikut satu kajian, senaman dapat mengurangkan kemurungan kerana ketika bersenam otak akan mengeluarkan bahan-bahan kimia asli seperti endorphin yang berfungsi mendatangkan ketenangan dan menghilangkan kesedihan serta kemurungan. Justeru, senaman dan rekreasi (dalam batas-batas syariat) adalah penawar yang mujarab bagi mengawal tekanan atau stress.
- 5. Berdoa Dengan Khusyuk Adalah Penawar
Berdoa adalah ibu ibadah. Imam An-Nawawi telah menukilkan perkataan Imam Al-Ghazali di dalam kitab Al-Azkar berhubung dengan kepentingan doa: “Doa menjadi sebab bala dijauhkan dan rahmat diturunkan. Ia dapat dikiaskan dengan perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan”.
Doa yang diterima oleh Allah ialah yang dilakukan dengan hati yang khusyuk seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w.: “Berdoalah kepada Allah dengan keyakinan bahawa Allah akan mengabulkan permintaanmu. Ingatlah, Allah tidak akan memperkenankan doa yang datang dari hati yang lalai”. (Tirmizi)
Bagaimana dengan anda? Anda selalu menghadapi stress? Apakah yang biasanya anda akan lakukan untuk mengurangkan stress??
0 comments:
Post a Comment